22 Ogos : Sebuah parti Islam hanya rekaan manusia dan tidak bersifat suci maka ia tidak mengikat seorang Muslim, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang didakwa melabel dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu sebagai melawan perjuangan Islam.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan Mohd Nassuruddin apabila beliau menegaskan dalam ucapan yang dirujuk itu, beliau hanya menyebut sebagai perjuangan Islam dan bukannya melawan Islam sebagaimana didakwa kedua-dua wakil rakyat terbabit.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata Islam boleh ditegakkan secara bijaksana tanpa mencanangkannya kepada umum seperti melaksanakan keadilan sosial, meratakan kebajikan, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah, maksiat dan sebagainya.
Tambahnya, individu atau kumpulan boleh mendakwa mereka memperjuangkan Islam tetapi dakwaan itu perlu dibuktikan dengan jelas dalam realiti kehidupan.
“Apa yang penting, segala ajaran Islam perlu dihayati di dalam urus tadbir negara dan kehidupan warganya dengan baik. Di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, mencanangkan perjuangan untuk menegakkan Islam mungkin kurang bijaksana.
“Agama Islam tidak akan tertegak dengan slogan semata-mata sebaliknya ia ditegakkan dengan amalan di dalam kehidupan rakyat yang sejahtera dan berkebajikan di samping pentadbiran negara yang baik, bersih dan cekap,” katanya, lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau berkata setiap Muslim wajib terikat dengan agama dari sudut akidah mahu pun amalan dengan mematuhi segala hukum yang ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah.
Justeru, beliau berharap penjelasan yang disampaikan tidak digunakan sebagai modal politik sesetengah pihak.
“Hanya sikap taksub yang mendorong seseorang untuk menyamakan rekaan manusia dengan ciptaan Ilahi. Saya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, malah tidak mahu dikaitkan dengan politik.
“Penjelasan yang saya berikan ini semata-mata berlandaskan ajaran Islam, tidak lebih daripada itu. Saya berharap dengan penerangan saya ini, ia tidak disalah tafsir dan akan dipolitikkan oleh mana-mana parti politik,” katanya.