22 Ogos : Data dari kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthire, Khamis lalu gagal diekstrak makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura.
Ia bagi mendapatkan rakaman 30 minit terakhir sebelum pesawat malang itu terhempas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata CVR tersebut mungkin akan dihantar ke kilang pengeluar di Florida, Amerika Syarikat.
“Pagi tadi saya mendapat laporan daripada ketua biro (BSKU), makmal di Singapura juga tak dapat keluarkan rakaman suara tersebut. Ada beberapa isu teknikal, kekangan yang tidak dapat mengeluarkan rakaman tersebut.
“Ketua biro akan balik ke Kuala Lumpur petang ini dan beri penjelasan kepada saya.
“Tindakan susulan mungkin perlu hantar ‘memory puck’ ke Florida untuk dianalisa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Penerbangan, hari ini.
Semalam, Loke dilaporkan berkata CVR itu ditemukan dalam keadaan rosak teruk apabila dibuka pada Sabtu lalu.
Nahas pesawat di Shah Alam itu mengorbankan 10 nyawa termasuk dua kru, enam penumpang dan dua orang awam yang kebetulan melalui kawasan kejadian.