22 Ogos : Setelah lebih 15 tahun hidup dalam buangan, bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra hari ini pulang ke Thailand.
Thaksin,74 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang pagi tadi dengan menaiki pesawat persendirian yang berlepas dari Lapangan Terbang Seletar Singapura.
Beliau diiringi anak lelaki dan anak perempuannya termasuk Paetongtarn yang merupakan seorang daripada tiga calon perdana menteri Parti Pheu Thai.
Thaksin dilihat meletakkan jambangan bunga di hadapan gambar Raja Maha Vajiralongkorn di luar bangunan terminal itu.
Thaksin juga sempat melambai ahli keluarga, penyokong dan media yang berkumpul di luar bangunan terminal sebelum masuk ke dalam bangunan itu semula.
Thaksin dijangka ditahan polis dan dibawa ke Mahkamah Agung untuk perbicaraan lewat, hari ini.
Terdahulu, penyokong Thaksin berbaju merah berkumpul di luar terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang bagi mengalu-alukan kepulangannya sambil memegang sepanduk.
Penyokongnya telah berkampung di luar terminal sejak semalam.
Sementara itu, jurucakap Pejabat Kehakiman Sorawis Limparangsi berkata Mahkamah Agung akan mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu termasuk butiran pertimbangan mahkamah terhadap kes berkenaan.
Thaksin berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 hingga 2006 hidup dalam buangan sejak 2008 dan menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin.