23 Ogos : Bagi menjamin kelancaran sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya, sebanyak 22 jalan menghala ke lokasi tersebut akan ditutup sementara pada 31 Ogos ini.
Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran dan Belanjawan) Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Rizal Abd Rahman Sidek berkata penutupan jalan itu akan bermula jam 5 pagi hingga 11 pagi.
“Antara laluan terlibat ialah Persiaran Perdana dari Dataran Putra, Lebuh Wawasan, Lebuh Bestari, Lebuh Saujana menghala ke Persiaran Perdana, Jalan Pembangunan dari arah Jalan Tun Abdul Razak dan Jalan Pemodenan,” katanya dalam program temu bual di stesen radio Selangor. FM pada Rabu.
Rizal berkata orang ramai boleh melayari Facebook rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur untuk mengetahui senarai penuh jalan yang ditutup.
Tambah beliau, penganjur turut menyediakan dua bas perantara di Terminal Putrajaya Sentral dan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi memudahkan pergerakan orang ramai.