23 Ogos: Rakyat sudah penat menghadapi ketidakstabilan politik beberapa tahun lalu dan mahukan pemimpin menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi dan pembangunan negara.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata tumpuan kini harus diberikan kepada usaha ke arah memulihkan ekonomi dan melaksanakan agenda pembangunan negara demi kepentingan rakyat.
“Kita berada dalam landskap politik yang baharu di bawah Kerajaan Perpaduan. Dengan ketidakstabilan politik yang kita lalui dalam beberapa tahun lalu, saya rasa dan yakin bahawa sebenarnya majoriti rakyat sekarang sudah penat berpolitik
“Mereka (rakyat) ingin sangat untuk melihat kerajaan menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi dan pembangunan negara. Saya sendiri ingin menumpukan perhatian kepada tugas yang diberikan.
“Sebagai Presiden PBRS, saya selalu mengingatkan ahli dan bahagian saya bahawa sekarang adalah masa untuk kita menunjukkan nilai kita kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Media Sabah, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas situasi semasa politik negara selepas berakhirnya pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos lalu.
Sementara itu, Arthur berkata situasi politik di Sabah mungkin berubah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kerana apa-apa sahaja perubahan boleh berlaku dalam masa singkat.
“PRN yang akan datang di Sabah, kalau mengikut tempoh penggal, masih lama, mungkin hampir dua tahun lagi.
“Kita nampak situasi politik sekarang apa-apa saja boleh berlaku, jadi apa saja ramalan yang kita buat sekarang mungkin akan berubah dalam masa yang singkat,” katanya.
Terdahulu, Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, mengumumkan pelaksanaan beberapa program di bawah kementeriannya di Sabah termasuk Minggu Sains Negara yang bermula pada 24 Ogos ini.