23 Ogos : Pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Proton Holdings Bhd (Proton) mendominasi 61 peratus pasaran kenderaan di Malaysia setakat tahun ini.
Bank pelaburan, RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata Perodua terus unggul sebagai jenama kereta paling laris di Malaysia pada 2023.
Perodua menguasai 40.3 peratus pasaran automotif domestik manakala Proton memegang 20.7 peratus lagi pasaran.
Toyota pula muncul jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia dengan menguasai 13.3 peratus diikuti oleh Honda dengan 9.2 peratus, Mazda (2.6 peratus), Nissan (1.4 peratus) dan jenama-jenama lain (12.5 peratus).
Sementara itu, Penganalisis TA Securities, Angeline Chin berkata jualan kenderaan untuk tempoh selanjutnya dijangka menurun meskipun terdapat pelancaran model baharu, versi dipertingkat dan varian baharu.
Beliau berkata, sentimen pengguna yang lemah, kenaikan kadar faedah dan skim subsidi bahan api bersasar jika diperkenalkan oleh kerajaan dijangka menjadi antara faktor kemungkinan yang memberi impak kepada jualan kenderaan.
“Ramalan jumlah pengeluaran industri (TIV) kami untuk 2023 sebanyak 650,000 unit sedang dalam semakan semula. Justeru, kami mengulangi saranan ‘neutral’ untuk sektor ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
MAA baru-baru ini mengumumkan TIV bulanan meningkat 1.8 peratus kepada 63,700 unit pada Julai.
TIV yang lebih tinggi disebabkan terutamanya oleh normalisasi rantaian bekalan automotif dan pemenuhan tempahan yang diterima untuk pelancaran model baharu baru-baru ini.
Segmen kenderaan penumpang meningkat sebanyak 4.0 peratus bulan ke bulan kepada 57,900 unit manakala segmen kereta komersial turun 16.6 peratus kepada 5,700 unit pada Julai.
Bagi tempoh Januari hingga Julai, TIV melonjak 12.6 peratus kepada 429,800 unit, didorong oleh kedua-dua segmen penumpang dan kereta komersial, yang masing-masing mencatatkan jumlah jualan sebanyak 384,600 unit (meningkat 13.7 peratus) dan 45,200 unit (meningkat 4.3 peratus).
MAA menjangkakan TIV bulan ini akan lebih tinggi sedikit daripada Julai, berdasarkan pengenalan beberapa model baharu serta kempen promosi Hari Kebangsaan daripada beberapa syarikat kereta.
Sementara itu, pengeluar kereta nasional mempamerkan keputusan bercampur-campur bulan Julai dengan Perodua mencatatkan jualan lebih tinggi sebanyak 28,400 unit iaitu 26.1 peratus lebih tinggi bulan ke bulan dan menokok 55 peratus tahun ke tahun, jualan bulanan kedua tertinggi yang dicapai untuk 2023.
Bagi Proton, jumlah jualan turun sebanyak 5.5 peratus bulan ke bulan kepada 13,100 unit.
Bagi tempoh Januari hingga Julai, Perodua dan Proton mencatatkan jualan lebih tinggi, masing-masing 18.8 peratus dan 30.1 peratus kepada 173,100 unit dan 89,100 unit.