23 Ogos : Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan senarai 11 portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pasca-Mesyuarat Exco Khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.
Selain kekal dengan jawatan Menteri Besar, Amiruddin juga memegang lima portfolio utama iaitu Kewangan dan Tindakan Ekonomi, Pembangunan Tanah dan Sumber Alam serta Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu juga bertanggungjawab dalam Pemodenan Pentadbiran dan Digitalisasi Kerajaan dan juga Komunikasi Strategik.
Sementara itu, ADUN Seri Setia, Mohammad Fahmi Ngah yang pertama kali menjadi Exco memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inivasi.
ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim yang sebelum ini merupakan Speaker DUN Selangor, juga kali pertama menyertai barisan Exco kerajaan negeri diberi tangggungjawab menerajui Kerajaan Tempatan dan Pelancongan.
Dalam pada itu ADUN Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah mengetuai portfolio Perumahan dan Kebudayaan manakala bagi Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat dipegang oleh ADUN Taman Templer, Anfaal Saari.
Bagi Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, portfolio tersebut kini diterajui ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.
ADUN Kinrara, Ng Sze Han pula kali ini ditugaskan untuk memegang portfolio Pelaburan dan Perdagangan.
Secara keseluruhan, seramai tujuh muka baharu dikemukakan dalam kesemua 11 Exco kerajaan negeri yang diumumkan.
Pada Isnin, Menteri Besar dan 10 Exco Selangor mengangkat sumpah jawatan bagi penggal ke-15 di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.
Selangor membariskan tujuh Exco baharu termasuk seorang mewakili Barisan Nasional (BN), bagi penggal ini.