23 Ogos : UMNO perlu mencontohi PKR sebagai contoh parti politik yang matang bagi mengembalikan semula kestabilan, kata Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Menurutnya, parti tersebut sentiasa mempunyai inisiatif untuk memperkukuhkan parti bersama ahli-ahli yang masih setia walaupun pernah menghadapi episod pembersihan parti.
“PKR pernah mengalami proses pembersihan parti besar-besaran setelah siri pengkhianatan oleh kumpulan Datuk Seri Azmin Ali yang membawa ribuan ahli parti untuk turut juga keluar daripada parti.
“Adalah penting untuk UMNO kembali stabil dalam tempoh usaha memperkukuhkan kembali UMNO di pentas politik dan pentadbiran negara”, katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang desakan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakkan jawatan adalah suatu usaha untuk melemahkan parti itu.
Tambah beliau, segenap lapisan kepimpinan UMNO perlu bersatu-padu dalam usaha memperbaiki semula parti itu yang kini kurang mendapat sokongan rakyat seperti dahulu.
“UMNO kini berada di dalam fasa untuk memperbaiki dan membina semula parti ini.
“Sekarang ialah masa untuk membina semula UMNO dan ianya harus digalas dan dilaksanakan secara kolektif oleh seganap lapisan kepimpinan daripada peringkat pucuk pimpinan pusat sehinggalah ke peringkat bahagian serta cawangan di seluruh negara,” katanya.
Justeru, Shaiful berkata sebarang usaha untuk melemahkan semangat parti atau desakan memaksa Ahmad Zahid meletak jawatan perlulah menggunakan saluran demokrasi yang betul. OLEH AISYAH BADRUL