Kerajaan cari peruntukan tambahan baiki rumah polis : PM
24 Ogos : Kerajaan menjamin akan mencari peruntukan tambahan bagi menyelenggara rumah polis seluruh negara menerusi belanjawan akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu ketika berucap pada Jamuan Rakyat Perdana Menteri bersama warga dan keluarga Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di Dewan Briged Utara PGA di Ipoh, hari ini.
Beliau memaklumkan, ketika ini hanya sekitar 40 peratus hingga 60 peratus kediaman polis boleh diduduki manakala selebihnya berada dalam keadaan tidak selamat.
“Untuk perumahan polis, saya tak perlu tanya lagi elok atau tidak, memang saya dah tahu.
“Jadi Insya-ALLAH dalam belanjawan Madani yang dibentangkan pada Oktober ini, saya akan cuba ikhtiar dapatkan peruntukan tambahan untuk perumahan polis.
“Isu perumahan tujuan paling utama kita di sini dan kita akan tambah peruntukan dengan segera untuk baiki yang asas dahulu, yang lain akan diberi perhatian kemudian,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Nordin Manan.
Menurut Anwar, jaminan itu diberikan berdasarkan keyakinan terhadap kemampuan negara mencatatkan keuntungan tinggi hasil kemasukan pelaburan syarikat besar termasuk milik Elon Musk dan syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).
“Malah, syarikat semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG juga baru membuat keputusan tiga minggu lalu untuk memilih Malaysia dengan pelaburan sekitar RM20 bilion.
“Jika tidak ada pelaburan, saya tidak mampu umum peruntukan tambahan kerana tiada hasil. Inilah kerangka yang kita harus faham,” katanya.
Julai lalu, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha menjamin keselesaan anggota keselamatan negara.
*Foto : SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri