24 Ogos : Malaysia dan Iran sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta meneroka potensi kerjasama baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dicapai melalui perbualan telefon antara beliau dan Presiden Iran, Seyyed Ebrahim Raisi.
“Semalam (kelmarin) saya telah berinteraksi dengan Presiden Republik Islam Iran, TYT Seyed Ebrahim Raisi, melalui perbualan telefon.
“Ia berlangsung sejurus tamatnya kunjungan hormat Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zamby Abdul Kadir ke atas TYT Seyed Ebrahim di Tehran.
“Alhamdulillah, dalam perbualan singkat tersebut kami senada dan sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta menerokai potensi kerjasama baru,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Sehubungn itu, beliau memaklumkan dua jawatankuasa bersama sedia ada akan mengadakan pertemuan dengan kadar segera.
“Ke arah ini kami berdua turut bersetuju supaya dua jawatankuasa bersama sedia ada iaitu Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (Joint Commission Meeting) dan Suruhanjaya Ekonomi Bersama (Joint Economic Commission) mengadakan pertemuan dengan kadar segera.
“Bagi menghalusi kesemua potensi skop kerjasama antara kedua-dua negara untuk kebaikan bersama,” katanya.
Sementara itu, Zambry yang mengadakan lawatan rasmi ke Iran selama empat hari yang berakhir semalam memaklumkan Seyyed Ebrahim menyambut baik langkah Malaysia mempertingkatkan hubungan dua hala dengan Iran.
Katanya, lawatan beliau ke negara itu juga bertujuan mengembangkan lagi akses pasaran eksport komoditi dan produk buatan Malaysia ke negara-negara anggota Komanwel Negara-negara Merdeka (CIS).