24 Ogos: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang pada 7 Oktober ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan masing-masing pada 23 September dan 3 Oktober.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR di Putrajaya bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK berkenaan.
Mesyuarat itu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.
Allahyarham Johari merupakan antara 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Johari yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.
Allahyarham Johari menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).