RM30 juta peruntukan tambahan naik taraf laluan Gerik Jeli : PM
24 Ogos : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik-Jeli.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia adalah tambahan kepada peruntukan penyelenggaraan yang dianggarkan kosnya sebanyak RM80 juta sehingga RM100 juta.
Beliau turut memaklumkan terdapat banyak permohonan peruntukan untuk penyelenggaraan jalan di seluruh negara.
Sehubungan itu beliau akan mengkaji perkara itu dan dibentangkan dalam belanjawan Oktober ini.
“Tapi hari ini saya boleh lulus tambahan RM30 juta untuk perbaiki jalan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Gerik, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sebelum ini, Nanta mengumumkan peruntukan awal RM30 juta bagi menaik taraf dan menyelenggara jalan tersebut.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan meluluskan peruntukan tambahan penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh Malaysia berjumlah RM370 juta pada tahun ini.
Beliau berkata RM300 juta adalah bagi penyelenggaraan jalan persekutuan yang tiada dalam syarat kontrak syarikat konsesi.
“RM20 juta peruntukan khas untuk jurutera daerah dan RM50 juta (bagi) pemasangan dan penyelenggaraan lampu di kawasan risiko tinggi kemalangan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan turut meluluskan RM250 juta bagi peruntukan kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan kontraktor kecil bumiputera.
Pada program sama, Anwar turut meluluskan sagu hati RM1,000 kepada 87 keluarga pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dengan pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (FT004) sebagai simbolik menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan.
Anwar turut menyampaikan cenderamata kenangan kepada 37 orang bekas pekerja dan waris keluarga yang terlibat dengan pembinaan JRTB (FT004) itu.
Pada 21 Mei 1974, serangan pengganas komunis telah merosakkan puluhan unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974, seramai tiga orang petugas JKR telah terbunuh semasa bekerja untuk membina laluan ini.
Foto : AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri