25 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang dinobat Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1445H/2023M, malam tadi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang lain yang menerima pengurniaan hadiah daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
“Saya berharap semoga majlis seperti itu bukan saja memuliakan al-Quran, malah dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kefahaman melalui mesej yang terkandung dalam kitab suci umat Islam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Muhammad Qayyim yang juga orang kurang upaya penglihatan sejak lahir muncul johan dengan catatan markah 94.96 peratus.
Beliau dilaporkan mendalami dan mempelajari kemahiran bacaan al-Quran menggunakan naskhah Braille.
Tempat kedua dimenangi Alireza Bizhaniavval dari Iran yang memperoleh 93.30 peratus manakala Awang Mohd Zul-Hafiz Awang Tengah dari Brunei Darussalam di tempat ketiga dengan 90.38 peratus.
Bagi kategori qariah, peserta Maghribi, Sara Belmamoun muncul johan dengan markah 93.05 peratus, tempat kedua Raudhah Supian Noor dari Indonesia dengan 92.21 peratus manakala peserta Filipina Sabaha Pato Salik di tempat ketiga dengan 91.50 peratus.