25 OGOS: Menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang peguam disenaraikan sebagai individu dikehendaki selepas dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).
Memetik laporan Utusan Malaysia, pengesahan mengenainya dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Ya, sudah. Tindakan Notis Merah dikenakan terhadap mereka,” katanya kepada akhbar itu.
Terdahulu, Razarudin dilaporkan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permintaan lisan untuk Notis Merah ke atas menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan dan peguam, Mansoor Saat.
SPRM mendakwa mereka dikehendaki berhubung projek yang melibatkan pendaftaran dan penyimpanan maklumat biometrik untuk pekerja asing.
Utusan Malaysia memetik sumber tanpa nama yang mendakwa Muhammad Adlan meninggalkan negara ini melalui sempadan Johor Bahru.
“Dia dipercayai berlepas ke negara ketiga,” kata sumber itu.
Muhammad Adlan, melalui peguamnya, mengeluarkan kenyataan yang mendakwa dia menjadi sasaran secara tidak sah dan menyebabkannya menderita dan berada di ambang kehancuran dari segi kewangan.
Dia juga mendakwa bahawa akaun bank, baik peribadi mahu pun yang dikaitkan dengan syarikatnya dibekukan tanpa notis.
Sementara itu Mansoor pula dilapor mendakwa dia menjadi mangsa penganiayaan politik.