25 OGOS : Tiada paksaan bagi pelajar bukan Islam menerima pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bakal dilancarkan di sekolah-sekolah seluruh negara tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masyarakat bukan Islam di negara ini perlu memahami kepentingan pelaksanaan modul tersebut kerana ia berkait dengan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama pada masa akan datang.
“Pengajaran 40 hadis ulama itu sebagai asas untuk orang Islam terutama anak muda, ia penting bagi mereka kuasai dan fahami Islam. Jadi jangan salah faham sebab kita bukan paksa (pelajar) bukan Islam.
“Keduanya, kalau ilmu setakat yang ada sekarang, jadi orang ingat tindakan maki hamun, cerca dan fitnah itu dianggap sebagai sebahagian daripada Islam. Sebab itu penyelesaian adalah mendalami ilmu Islam yang bersandar kepada al-Quran dan kupasan ulama muktabar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Malaysia Bersama Pimpinan Kerajaan Perpaduan Negeri Johor, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dalam pada itu, Anwar berpendapat isu berkenaan tidak wajar lagi diungkit khususnya oleh wakil-wakil masyarakat bukan Islam di negara ini.
“Saya harap dengan penjelasan ini tidak akan berbangkit kecurigaan dalam sistem pendidikan kita. Sebahagian tidak suka Islam diajar, sebahagian lagi gunakan Islam tetapi tidak dengan dasar ilmu.
Terdahulu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.
Modul itu akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum diedarkan ke sekolah di bawah KPM tahun depan.
Dalam perkembangan lain, mengulas soal ekonomi negara, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi jangka panjang kerajaan memberi tumpuan agar sektor pertanian Malaysia terus diperkasa untuk mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.
Jelas beliau, langkah tersebut sebagai usaha jangka sederhana yang akan diterajui Jabatan Pertanian dengan sasaran pelaksanaannya secara menyeluruh.
“Negara mengimport produk makanan, termasuk benih tumbuhan dengan nilai amat besar, iaitu hampir RM70 bilion setahun.
“Jangka sederhana maksudnya ialah penanaman. Malaysia ada hujan, air, kesuburan tanah, namun kita import produk makanan amat besar, sehingga RM70 bilion setahun,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim