26 OGOS : Ekosistem rasuah dan salah guna kuasa di negara ini perlu segera dihentikan dengan mewujudkan Akta Pendanaan Politik.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Centre), Pushpan Murugiah berkata akta tersebut penting perlu segera dilaksanakan bagi memastikan pemimpin yang dipilih itu berdasarkan kualiti kerja atau merit dan bukan semata-mata memberikan wang untuk meraih undi.
“Oleh itu ramai pengundi memilih calon berdasarkan parti politik dan ia memang tidak adil kepada calon lain yang tidak dipilih sedangkan mereka mempunyai pelbagai polisi pembangunan yang baik terhadap negara,” katanya.
Beliau berkata demkian ketika Kuliah Umum Siri Keempat bertajuk ‘Undang-undang pembiayaan politik rasuah : Masalah institusi’ di Auditorium Raja Aziz Addruse, Wisma Badan Peguam Malaysia bersama moderator, Andrew Khoo pada Sabtu.
Sementara itu, pensyarah kanan Universiti Nottingham, Dr Fernando Casal Bertoa pula berkata Malaysia boleh berada dalam kedudukan yang baik dalam Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sekiranya akta itu dilaksanakan.Jelasnya, kesedaran masyarakat terhadap isu tersebut bukan sahaja menyumbang kepada aktiviti rasuah sebaliknya menjadi norma biasa bagi meraih sokongan rakyat.
“Berdasarkan skor CPI pada tahun 2022 menunjukkan aktiviti rasuah di negara ini semakin meningkat. Kerajaan perlu bertindak segera bagi memastikan gejala rasuah yang melibatkan parti politik dihentikan,” katanya.
Sementara pakar Parlimen, Maha Balakrishnan berkata peranan jawatankuasa Parlimen penting bagi memastikan institusi pentadbiran negara tidak didominasi oleh badan eksekutif sahaja.
Menurutnya dengan pemerkasaan jawatankuasa tersebut ia lebih adil dalam memastikan kuasa eksekutif, legislatif dan judisiari seimbang.
“Jawatankuasa ini penting bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan dengan baik tanpa ada mana-mana pengaruh politik.
“Perkara ini memang sukar dibuat tetapi ia penting bagi memastikan proses demokrasi itu berjalan sempurna,” katanya.