26 OGOS : Denmark akan membentang rang undang-undang (RUU) bagi melarang pembakaran al-Quran susulan insiden penghinaan terhadap kitab suci yang mencetuskan kemarahan negara dan umat Islam seluruh dunia, lapor AFP.
Menteri Undang-Undang, Peter Hummelgaard berkata RUU itu ditujukan kepada sebarang bentuk pembakaran dan kerosakan di tempat awam.
“Kerajaan akan membentangkan RUU yang akan melarang perlakuan tidak sesuai terhadap objek mempunyai kepentingan agama yang penting kepada komuniti,” katanya.
Hummelgaard berkata pembakaran al-Quran adalah tindakan yang pada asasnya menghina hingga boleh memudaratkan Denmark dan kepentingannya.
Perundangan baru itu akan dimasukkan dalam Bab 12 Kanun Keseksaan Denmark yang meliputi keselamatan negara.
Hummelgaard berkata keselamatan negara adalah keutamaan bagi pelaksanaan larangan itu.
“Kami tidak boleh terus berdiam diri, sementara beberapa individu melakukan segala yang mereka mampu untuk mencetuskan reaksi ganas,” katanya.
Perundangan itu juga akan digunakan kepada kitab Bible, Taurat atau simbol, contohnya salib.
Mereka yang melanggar undang-undang boleh didenda dan dihukum penjara dua tahun.