26 OGOS: Gaji minimum RM1,500 masih dikekalkan di bawah kerangka dasar sistem gaji progresif yang bakal diperkenal oleh kerajaan.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata sistem gaji progresif dilihat paling relevan untuk diamalkan di Malaysia malah ia perlu seiring dengan gaji minimum dalam meningkatkan produktiviti pekerja sekali gus memberi keuntungan kepada majikan.
“Gaji minimum RM1,500 adalah paras paling asas, sekiranya kita menurunkan angka gaji minimum, itu bukanlah bersifat progresif tetapi regresif,” katanya dalam sidang media selepas Program Dialog Perburuhan, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Awang Raduan Awang Omar.
Sistem gaji progresif merupakan peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya ia setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.
Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata dasar sistem gaji progresif diluluskan di peringkat Kabinet dan butirannya akan dibentang dalam Belanjawan 2024 pada Oktober ini dengan jangkaan pelaksanaan pada April atau Mei tahun depan.
Sivakumar juga berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperinci garis panduan dasar itu turut menetapkan pelaksanaan sistem gaji progresif tidak diwajibkan ke atas semua majikan swasta.
“Apabila kita menetapkan RM1,500 sebagai gaji minimum, ia tidak melibatkan soal produktiviti, oleh itu kita mahukan pekerja yang berkemahiran dan mempunyai bakat mendapat bayaran setimpal sekali gus menjadi nilai tambah dan aset kepada majikan mereka untuk kekal bekerja.
“Pada masa akan datang, majikan secara perlahan-lahan akan menyedari keperluan melaksanakan gaji progresif, jadi untuk peringkat awal, kita akan biarkan majikan membuat keputusan sama ada mereka mahu gunakan sistem gaji progresif atau tidak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan meneliti cadangan penggubalan Akta Iklan Gaji agar majikan lebih telus dengan mewajibkan mereka meletakkan tangga gaji dalam iklan pekerjaan yang ditawarkan.
“Cadangan itu baik untuk rakyat dan apa yang baik untuk rakyat, kita sedia pertimbangkan. Kita akan berbincang dengan pihak berkepentingan untuk memperinci perkara ini,” katanya sambil menambah buat masa ini, akta itu tidak mewajibkan majikan berbuat demikian.
Terdahulu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman menerusi platform media sosial X mengutarakan cadangan itu untuk memberi peluang kepada graduan dan pekerja menilai tawaran gaji terbaik buat mereka.