26 OGOS : Seorang pekerja boleh dipecat jika menghina majikan atau rakan sekerja dalam kumpulan WhatsApp peribadi, putus Mahkamah Buruh Jerman.
Hakim memutuskan walaupun ahli kumpulan mungkin berkongsi komen mereka secara sulit, tetapi apabila menyentuh mengenai kenyataan menghina atau berbaur perkauman, kerahsiaan hanya terpakai dalam kes luar biasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Katanya, jika kata-kata penghinaan itu diketahui umum, pekerja boleh dipecat.
Ia susulan kes kumpulan WhatsApp di syarikat penerbangan TUI fly di mana sekumpulan rakan dan dua saudara lelaki yang bekerja di TUI fly yang berkongsi penghinaan melalui aplikasi itu.
Tujuh rakan sekerja syarikat penerbangan itu bertukar-tukar mesej WhatsApp selama beberapa tahun, menghina satu sama lain dan mereka yang bukan sebahagian daripada kumpulan sembang itu.
Mereka berkongsi kenyataan menghina, berbaur perkauman, tidak berperikemanusiaan dan seksis serta menggalakkan keganasan dengan ugutan untuk memukul.
Sebahagian daripada sejarah sembang mereka telah disalin dan dihantar kepada majlis kerja dan pengurus kakitangan yang akhirnya menyebabkan mereka dipecat.