26 OGOS : Malaysia akan membuka semula kedutaan di Iraq selepas hampir dua dekad ia ditutup.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beliau sudah menyampaikan hasrat tersebut kepada rakan sejawat, Dr Fuad Hussein dalam pertemuan ketika lawatan rasminya ke negara itu, baru-baru ini.
“Saya juga telah menyampaikan keputusan Kabinet Malaysia untuk mengoperasikan semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad yang telah ditutup sementara sejak dua dekad yang lalu.
“Pengoperasian semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad pastinya akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zambry, lawatan berkenaan adalah bukti kesungguhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan semua negara Islam termasuk Iraq.
Kali terakhir lawatan rasmi peringkat menteri ke negara tersebut adalah pada 2002 iaitu sebelum tercetusnya pergolakan politik di Iraq pada tahun 2003.
Malaysia mengulangi komitmen untuk meluaskan kerjasama dengan Iraq dalam pelbagai sektor terutamanya ekonomi, pendidikan, hubungan udara dan pelancongan.
Kata Zambry, beliau menyatakan kesediaan Malaysia untuk meneroka semua laluan dan peluang yang ada untuk meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
“Termasuk meningkatkan eksport perabot, produk farmaseutikal, produk elektrik dan elektronik serta komoditi ke Iraq.
“Dalam bidang pelaburan, kerajaan Iraq telah mengalu-alukan kehadiran syarikatsyarikat dari Malaysia untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur bagi pembangunan semula Iraq,” katanya.
Turut dibincangkan status pengoperasian Petronas di Iraq serta peluang yang lebih meluas dalam sektor tenaga yang boleh diterokai oleh syarikat tersebut.
Malaysia juga mahu meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan melalui pertukaran tenaga pengajar, penyelidik dan pelajar dalam pelbagai bidang.
Zambry berkata, Malaysia turut mengalu-alukan hasrat Iraqi Airways memulakan penerbangan berkala ke Kuala Lumpur dengan segera bagi melebar luas jaringan hubungan udara yang lebih praktikal dan efisien di antara kedua-dua negara.