26 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga dua mangsa nahas pesawat di Lebuh Raya Guthrie, Shah Alam yang terhempas 17 Ogos lalu.
Melalui hantaran terbaharu di akaun Facebooknya, beliau berkata Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi mewakilkannya untuk menyampaikan sumbangan itu ketika menziarahi waris Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramali di Kampung Ketari, Bentong, semalam.
Allahyarham Idris merupakan Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang turut terkorban dalam insiden pesawat terhempas itu.
Menurut Anwar, Ahmad Farhan juga menziarahi dan menyampaikan sumbangan beliau kepada keluarga Allahyarham Khairil Azwan Jamaluddin di FELDA Mempaga 1, Karak.
“Semalam Setiausaha Politik saya, Ahmad Farhan Fauzi telah menziarahi waris keluarga kepada Allahyarham Ustaz Idris Abdol Talib dan Allahyarham Khairil Azwan Jamaluddin di Felda Mempaga 1, Karak dan Kampung Ketari, Bentong yang merupakan antara mangsa pesawat Beechcraft Model 390 yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam.
“Saudara Farhan turut menyampaikan sedikit sumbangan dari pihak saya kepada keluarga mangsa.
“Saya turut berdukacita dan mendoakan keluarga terus diberi kekuatan serta ketabahan yang tinggi saat diuji dengan ujian besar ini,” kongsinya.
Pada 17 Ogos lalu, 10 individu terkorban dalam nahas itu termasuk Johari yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.
Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu, serta dua orang awam membabitkan penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing yang menggunakan lebuh raya berkenaan ketika kejadian.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim