26 OGOS : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan meneruskan siasatan berhubung tindakan seorang lelaki yang membaca doa dalam satu majlis yang turut disertai upacara keagamaan penganut lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihak polis menyerahkan kes tersebut kepada JAWI kerana tiada unsur jenayah dan ia lebih kepada isu agama.
“Siasatan kes ini telah diserahkan kepada pihak Jawi.
“Jika ada unsur jenayah dalam kes itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman akan siasat,” katanya, hari ini.
Pada Rabu, Jawi dalam satu kenyataan memaklumkan akan menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara terbabit bagi memastikan tiada unsur menyalahi hukum dan fatwa yang sedang berkuat kuasa.
Sebarang kesalahan yang berhubungan dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Pada Jumaat, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan satu laporan diterima pihaknya pada 22 Ogos.
Sebelum ini, satu rakaman siaran langsung majlis program pecah tanah itu yang berlangsung hampir satu jam di Facebook oleh sebuah akhbar tempatan tular di media sosial, baru-baru ini.