27 OGOS : Pelanjutan tempoh visa pelancong daripada 30 hari kepada 90 hari dan kelonggaran prosedur imigresen bagi memudahkan pelancong asing akan dipertimbang kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Srettha Thavisin
Memetik laporan Thai PBS World, pertimbangan itu adalah bagi menjawab gesaan pengendali perniagaan pelancongan supaya kerajaan merancakkan industri berkenaan di negara itu.
Bagaimanapun Thavisin menegaskan, cadangan beberapa pengusaha supaya kerajaan mengecualikan visa kemasukan bagi pelancong China, India dan Russia adalah isu berbeza, yang mempunyai implikasi keselamatan dan perlu dipertimbangkan dengan teliti.
Semalam Perdana Menteri bertemu pengusaha industri pelancongan di wilayah Phang-nga bagi mendengar permasalahan dan cadangan untuk mempromosi sektor terbabit dan pandangan mengenai potensi pelancongan kesejahteraan dan kesihatan di sepanjang pantai Andaman.
Pertemuan itu juga membincangkan kemungkinan mengubah suai lapangan terbang lama di Phang-nga dalam usaha menampung pesawat komersial kecil dan promosi pelancongan dalam komuniti tempatan untuk meningkatkan jualan produk tempatan dan pendapatan penduduk tempatan.
Dilaporkan terdapat kira-kira 3,000 komuniti yang berpotensi untuk membangunkan perniagaan pelancongan tempatan, tetapi kebanyakan mereka tidak berdaftar, sekali gus tidak mempunyai akses kepada sokongan kerajaan.
Dalam pertemuan itu Perdana Menteri menjelaskan walaupun parti Pheu Thai tidak mempunyai seorang Ahli Parlimen di wilayah Phang-nga, Krabi, Phuket atau Ranong, beliau akan melayan wilayah ini tanpa diskriminasi dan akan cuba meningkatkan pelancongan di sana, kerana beliau mahu menjadi perdana menteri untuk semua rakyat Thailand.