27 OGOS : Kementerian Pendidikan (KPM) sedia bertemu mana-mana pihak untuk membincangkan mengenai kekeliruan yang berlaku susulan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying menegaskan pelaksanaan modul terbabit hanya akan dilaksanakan kepada pelajar dan guru beragama Islam sahaja dan bukan kepada mereka yang beragama lain.
Malah katanya, kekeliruan yang timbul itu hanyalah disebabkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kebimbangan mereka, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.
“Jadi mereka (termasuk NGO) tidak perlu risau, saya faham kerisauan mereka ini, namun kami di KPM bersedia untuk bertemu dan berbincang sekiranya mereka ada apa-apa soalan berkaitan.
“Hadis 40 ini semua orang tahu hanya untuk murid dan guru yang beragama Islam, kami di KPM berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan,” katanya, di Batu Pahat, hari ini.
Mengulas mengenai kekurangan guru di SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha untuk mengatasi masalah berkenaan.
Beliau berkata KPM telah selesai mendapatkan data di enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan akan mula mengumpul data di Johor bermula 7 Sept.
“Sebenarnya, isu kekurangan guru ini bukan sahaja melibatkan SJKC dan SJKT sahaja tetapi turut melibatkan Sekolah Kebangsaan. Antara subjek yang menghadapi masalah adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam,” katanya.
Semalam, Dong Jiao Zong dipetik sebagai meluahkan kebimbangan mereka apabila hanya 15 guru pelatih diterima masuk ke subjek major Bahasa Cina dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan bilangan berkenaan disifatkan tidak cukup untuk menampung situasi kekurangan guru subjek Bahasa Cina.