28 OGOS: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bercadang untuk memberi galakan kepada pelajar untuk menyertai Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta menumpukan perhatian kepada infrastruktur luar bandar.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara tersebut akan dilaksanakan dengan menyediakan peluang kedua kepada mereka untuk melanjutkan pengajian serta menceburi dalam bidang keusahawanan.
“Selain tumpuan kepada infrastruktur bekalan elektrik dan air, kita (KKDW) juga mementingkan TVET untuk legasi baru di luar bandar.
“Dari segi kebolehpasaran TVET, melalui belanjawan kita peruntukkan untuk realisasikan TVET khusus buat wanita yang dikenali sebagai Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA) serta akan melibatkan pelbagai kaum dan wilayah termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas walkabout Program Jualan Desa Madani di Bangunan MARA, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata selain mengutamakan perkara berkenaan, KKDW turut memberi fokus dalam membangunkan masyarakat orang asli melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Sementara itu, KKDW bakal mengemukakan saranan kepada Kementerian Kewangan untuk anak-anak syarikat di bawah agensi Mara yang tidak memberikan sumbangan keuntungan untuk ditutup atau dilakukan cantuman.
“Keuntungan itu akan digunakan untuk pembiayaan aktiviti untuk objektif penubuhan agensi-agensi masing-masing.
“Agensi bukan jadi core-center tetapi menjadi profit center supaya beban kewangan dapat dikurangkan oleh Kementerian Kewangan. Saranan kami ini adalah untuk memberi perubahan yang ketara bagi tahun hadapan,” katanya.
Mengulas soal Jualan Desa Madani (JDM) yang berlangsung selama tiga hari itu, beliau berkata jualan itu bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 selain membantu usahawan desa mengembangkan perniagaan mereka.
Jualan Rahmah yang terdiri daripada barangan keperluan harian diberi potongan harga sebanyak 10 peratus sehingga 50 peratus serta ‘happy hour’ untuk barangan terpilih ditawarkan sepanjang JDM berlangsung bermula 28 sehingga 30 Ogos ini.
Selain itu, sebanyak 65 reruai usahawan dari pelbagai agensi di bawah KKDW dan usahawan PKS menyertai program ini terdiri daripada pelbagai kategori iaitu kecantikan, kesihatan, kraftangan, fesyen pakaian, makanan dan minuman. OLEH : AISYAH BADRUL