28 OGOS: Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mengkaji semula semua pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya beliau mendapat keadilan sewajarnya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO memberi keyakinan pada kredibiliti dan kemampuan AGC untuk meneliti serta melakukan sesuatu yang lebih positif supaya keadilan akan berpihak kepada Najib.
“Saya fikir Peguam Negara hendaklah mengkaji semula pertuduhan-pertuduhan yang telah dibalingkan kepada Datuk Seri Najib Razak.
“Jika benar memo itu asli, saya yakin Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan segera bagi menggugurkan pertuduhan-pertuduhan yang dilakukan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata demikian ketika melakukan walkabout Program Jualan Desa Madani, di Bangunan MARA hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi.
Dalam pada itu, beliau berkata kepimpinan dan ahli UMNO menaruh keyakinan bahawa penganiayaan yang dikenakan kepada Najib atas arahan kerajaan dan pemimpin ketika itu harus dijadikan asas untuk memperlihatkan bahawa keadilan mesti diberikan keutamaan oleh pihak Jabatan Peguam Negara.
Baru-baru ini, satu dokumen yang didakwa ‘memo dalaman’ daripada Jabatan Peguam Negara oleh pasukan pendakwaan bagi kes International Petroleum Investment Company (IPIC) iaitu firma pelaburan Abu Dhabi telah tular di media sosial.
Dokumen bertarikh 10 September 2019 itu menyentuh mengenai enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Difahamkan, isi kandungan dokumen yang tular itu berbentuk cadangan daripada pasukan pendakwaan berkenaan, yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan yang dikenakan tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dilapor turut mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen berkenaan. OLEH : AISYAH BADRUL