28 OGOS : Thai Global Business Administration Technological College (TGBC), Thailand hari ini secara rasmi menubuhkan Kursi Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Penubuhan tersebut diumumkan Pengarah TGBC, Dr Prattana Srisuk pada satu majlis di Bangkok, hari ini.
Kursi itu secara khusus untuk memperkenalkan dan mempromosikan pengajian Bahasa Melayu dan ketamadunan Melayu di kolej tersebut dan di Thailand.
Difahamkan ia merupakan kursi pertama di institut pengajian tinggi di negara itu yang khusus untuk pengajian dan penyelidikan ketamadunan Melayu dan Bahasa Melayu.
Sementara itu, Ismail Sabri menzahirkan ucapan terima kasih kepada TGBC kerana mengiktiraf usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu di rantau ini.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berharap penubuhan kursi tersebut akan meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu di negara tersebut.
“Bahasa Melayu mempunyai kira-kira 300 juta penutur di rantau Asia Tenggara.
“Di Thailand juga tidak asing, majoriti penduduk di selatan Thailand boleh berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.
“Saya berharap usaha ini akan merealisasikan hasrat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN,” katanya.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan ucaptama yang bertajuk bertajuk ‘Pendigitalan Keluarga Dunia untuk Keamanan Sejagat’ di kolej tersebut.