29 OGOS : Gempa bumi kuat berukuran 7 skala Richter melanda kawasan laut dalam ke utara pulau Bali dan Lombok di Indonesia awal pagi tadi namun tiada ancaman tsunami, lapor Reuters.
Kemudiannya ia disusuli dua lagi gempa bumi masing-masing berukuran 6.1 dan 6.5, menurut agensi geologi Indonesia.
Gegaran yang terasa itu menyebabkan penduduk sekitar Denpasar, Bali segera meninggalkan rumah masing-masing.
Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean Seismological Centre (EMSC) memaklumkan pusat gegaran 203 kilometer (km) ke utara Mataram, Indonesia dan sangat dalam iaitu 516km di bawah permukaan bumi.
Difahamkan gegaran terasa sebelum jam 4 pagi waktu tempatan merentasi kawasan pantai di Bali dan Lombok.
Menurut laporan tersebut, Pengurus Hotel di Mercure Kuta Bali memaklumkan tetamunya berlari keluar dari bilik masing-masing selepas terasa gegaran selama beberapa saat namun masih berada dalam premis hotel.
Tiada kerosakan pada bangunan hotel tersebut, katanya.
Agensi bencana alam Indonesia, Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) turut memaklumkan tiada laporan kerosakan diterima pihaknya.
“Pusat gempa terlalu dalam jadi tidak banyak kesan gegaran dijangka,” kata jurucakapnya, Abdul Muhari.