29 OGOS : Penganjur acara hiburan diingatkan agar lebih peka dan sensitif dengan semua aspek di negara ini termasuk berkait agama bagi mengelakkan daripada tercetus isu negatif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata dalam konteks itu penganjur perlu mematuhi garis panduan ditetapkan bagi memastikan setiap sensitiviti masyarakat dapat dijaga.
“Saya mahu tekankan di sini, penganjuran festival itu (Kepci Music Fest) bukan dibuat oleh kerajaan, acara itu anjuran pihak swasta. Saya difahamkan, pelajar tahfiz itu dijemput oleh pihak ketiga.
“Jadi, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yussof akan cuba berbincang dan memberikan nasihat kepada penganjur,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kekesalan pelayar media sosial susulan tular video persembahan kumpulan wanita, COEX di hadapan pelajar tahfiz dalam sebuah konsert di Shah Alam, baru-baru ini.
Ia susulan persembahan kumpulan itu dilihat keterlaluan untuk dipertontonkan kepada pelajar-pelajar tahfiz tersebut.
Pelajar-pelajar tersebut lengkap berserban dan mengenakan jubah.
Terdahulu, seorang individu mengaku bertanggungjawab membawa pelajar-pelajar tersebut ke konsert yang diadakan Sabtu lalu.
Andrie Ung Han Xiang berkata dia bersama rakannya mengumpul sumbangan bagi membawa kira-kira 700 anak yatim dari 22 rumah kebajikan seluruh negara ke festival itu.
“Inisiatif ini adalah sepenuhnya daripada kami yang ikhlas untuk memberi peluang kepada anak yatim yang kurang berkemampuan merasai pengalaman menghadiri festival itu.
“Tujuan kami ikhlas menjemput mereka bersama memeriahkan festival yang turut menyediakan permainan kanak-kanak dan aktiviti lain serta konsert, selain boleh dihadiri semua masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.