29 OGOS: Kerajaan membuka permohonan peruntukan melalui Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) sebagai salah satu usaha untuk membantu orang ramai melalui penambahbaikan infrastruktur kecil awam.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata IKR membolehkan rakyat memaklumkan secara terus mengenai keperluan projek infrastruktur kecil awam di kawasan kediaman masing-masing kepada Kementerian Ekonomi dengan kos projek tidak melebihi RM200,000.
Katanya, antara skop projek kecil yang dibenarkan dalam peruntukan tersebut ialah saliran, perparitan, jalan, jambatan, titi, laluan pejalan kaki, cerun, tebing, gabion, benteng, gelanggang sukan, padang permainan, taman permainan kanak-kanak dan kemudahan rekreasi
“Selain itu, dewan terbuka, balai raya, hentian bas, bumbung tapak perhimpunan sekolah, masjid, surau dan madrasah juga merupakan skop kecil yang dibenarkan di bawah IKR,” katanya menerusi ciapan di X, hari ini.
Terdahulu, Rafizi memaklumkan sebanyak RM500 juta melalui IKR yang boleh mamnfaatkan sekurang-kurangnya 2,500 projek kemudahan rakyat di seluruh negara.
Beliau berkata, ia merupakan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk membiayai pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam yang terletak di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mendemokrasikan dana kerajaan.
Pada masa sama, Rafizi berkata menerusi program tersebut terdapat tiga manfaat yang akan diperoleh termasuk menyelesaikan projek infrastruktur kecil awam yang memberikan kesan secara langsung kepada rakyat dalam aspek penggunaan.
“(Selain itu) membaik pulih infrastruktur awam dengan lebih cepat sekaligus menyelesaikan peruntukan tidak mencukupi di PBT dan membantu kontraktor-kontraktor kecil di seluruh negara mendapat manfaat ekonomi dari projek-projek kecil,” katanya.
Jelas beliau, permohonan akan dinilai Kementerian Ekonomi dan dikemukakan kepada agensi berkaitan sebelum peruntukan tersebut disalurkan.