30 OGOS: DAP akan terus berhadapan dengan pemulauan orang Melayu jika parti itu masih tidak bertindak untuk melakukan perubahan.
Oleh itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyarankan supaya DAP menggugurkan agenda negara sekular dan slogan ‘Malaysian Malaysia’ dalam perlembagaan parti berkenaan.
Kata Jazlan, tiada cara lain untuk meyakinkan orang Melayu bahawa DAP hari ini sudah berbeza dari sebelumnya selain daripada parti itu meminda Perlembagaan parti berkenaan sekali gus menggugurkan dua elemen berkenaan.
“Orang Melayu sejak puluhan tahun lalu masih trauma dan tidak boleh menerima sentimen negara sekular dan Malaysia Malaysian yang diperjuangkan oleh DAP.
“Bila saya bersembang dengan pengundi Melayu di Selangor (ketika PRN lepas) dan Johor (ketika berkempen), majoriti mereka cakap masih tak boleh nak terima dengan mudah cara politik DAP yang bagi mereka masih terikat dengan tanggapan parti itu adalah parti totok orang Cina.
“Bila saya tanya kenapa selama ini orang Melayu boleh terima MCA dalam BN, mereka (orang Melayu) kata MCA tak ekstrem dan UMNO jadi parti dominan dalam gabungan itu.
“Berbeza dengan DAP, mereka kata tak boleh terima agenda sekular dalam parti itu sebab memang bertentangan sama sekali dengan syariat Islam dan Melayu. Jadi sebab itulah orang Melayu macam letak batu sempadan besar nak terima atau sokong DAP walaupun sudah bekerjasama dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan,” kata beliau menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Jazlan berkata, DAP perlu mencontohi UMNO yang telah membuat pengorbanan besar apabila mengetepikan seketika prinsip dan bersetuju bekerjasama dengan DAP yang merupakan dalam Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan negara dapat dimuktamadkan selepas PRU15.
Katanya, pengorbanan tersebut menyebabkan UMNO membayar harga yang mahal dalam bentuk kecaman kononnya bersekongkol dengan sebuah parti atau pakatan yang ekstrem.
“Jika DAP masih was-was untuk lakukan perubahan besar seperti mana pengorbanan yang UMNO sanggup buat hari ini dengan menyertai kerajaan Perpaduan, saya jangkakan DAP akan terus dipulau oleh pengundi Melayu.
“UMNO juga akan terus ditolak orang Melayu selagi kami bekerjasama dengan DAP. Satu lagi situasi besar yang perlu DAP hadapi ialah gelombang sokongan orang Melayu terhadap PAS akan jadi lebih kuat pada Pilihan Raya Umum ke-16 dan masa depan.
“Jadi kita akan lihat keadaan politik yang ekstrem di mana orang Cina akan terus sokong DAP sebagai parti mereka dan orang Melayu akan beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dan PAS sebagai parti mereka,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL