30 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia memaknai kemerdekaan negara dengan jiwa dan pemikiran yang merdeka.
Beliau berkata, usaha memaknai merdeka perlu dilaksanakan oleh setiap individu memandangkan Malaysia merupakan amanah kepada rakyat.
“Kemerdekaan fikiran, pemikiran jiwa yang merdeka itu tidak hanya kagum dengan gedung raksasa, jiwa merdeka itu dengan memberi pengertian apa itu keadilan bagi semua rakyat, bukan bagi beberapa kalangan elit terpilih.
“Daripada pimpinan tertinggi sehingga rakyat…negara ini ialah amanah. Di kampung sehinggalah ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) mesti melahirkan manusia yang jiwanya juga merdeka.
“Mereka tidak sanggup negara ini dijadikan perkakas untuk memperoleh habuan golongan elit. Segala kekuatan dan usaha ialah bagi mengembalikan hak kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dihadapan 6,000 penonton pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Dalam pada itu, Anwar berkata Kerajaan Perpaduan akan terus mengangkat martabat Malaysia supaya muncul sebagai negara hebat serta gagah serta mempertahankan hak setiap rakyat.
Jelas beliau, usaha tersebut akan terus dilakukan bagi mengelak daripada sebarang perkara yang melemahkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Jangan diremehkan perkara ini kerana ada negara yang hebat, muncul sebagai negara gagah dengan tamadun hebat tetapi hancur bukan sahaja kerana tatakelola dan rasuah malah dimainkan api perkauman serta fanatik agama.
“Lihat sahaja negara berkembang lain, malah negara maju…perbezaan itu boleh menjadi kekuatan juga boleh merosakkan sendi masyarakat serta kekuatan negara.
“Negara ini tegak dulunya, tegak sekarang dan akan terus tegak hebat dengan memperakui kontrak sosial di antara semua kaum dan hak semua warganegara, memuliakan budaya termasuk suku kaum mereka tetap akan dipertahankan.
“Insya-Allah Kerajaan Perpaduan dan negara Madani akan mempertahankan hak setiap rakyat di bumi bertuah ini,” katanya.
Negara akan menyambut Hari Kebangsaan ke-66 esok bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. OLEH : AISYAH BADRUL