30 OGOS : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mewartakan keputusan dan penyata pengundian selepas penjumlahan rasmi undi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pewartaan itu turut membabitkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak dengan PRN, 12 Ogos lalu.
“Pewartaan itu adalah selaras dengan kehendak di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Enam negeri terlibat, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta PRK Parlimen Kuala Terengganu yang berlangsung 12 Ogos lalu.
Pada 13 Ogos lalu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata Terengganu mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding lima negeri lain iaitu sebanyak 74.79 peratus.
Katanya, Kedah mencatatkan peratusan pengundian 73.86 peratus, Pulau Pinang (72.67), Selangor (72), Negeri Sembilan (68.35) manakala Kelantan pula 60.96 peratus.