30 OGOS : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan partinya tidak berhasrat untuk menjalin semula hubungan kerjasama dengan parti atau pemimpin yang bermuslihat.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama itu perlu datang daripada keikhlasan, bukannya manipulasi.
“Mana-mana pemimpin dan parti yang sangat bermuslihat, saya tidak fikir kita (UMNO) harus revisit hubungan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan PAS yang mengatakan masih terbuka untuk meneruskan agenda penyatuan ummah bersama UMNO.
Beliau ditemui selepas majlis makan malam bersama duta dan wakil dari 29 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di Putrajaya, malam tadi.
Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, parti itu masih mengambil sikap sedemikian memandangkan ummah khususnya orang Melayu masih memerlukan penyatuan.
Ia susulan kenyataan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menyatakan keperluan menghidupkan kembali semangat Muafakat Nasional (MN) khususnya buat PAS-UMNO.