31 OGOS : Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Muhammad Noh Muhammad Isa, 53 disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai perbarisan lintas hormat pada sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Sembilan di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Arifai Tarawe berkata siasatan awal mendapati lelaki itu jatuh dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 10 pagi sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban.
“Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan masalah jantung dan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah dikesan.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam sattu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata sesiapa yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7707282 atau Ibu Pejabat Daerah Seremban di talian 06-6033222.
Memetik laporan Bernama, Pengarah RELA Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Kanan Muhammad Faiz Musa menyifatkan pemergian Muhammad Noh yang telah berkhidmat selama 13 tahun sebagai kehilangan besar kepada pasukan berkenaan.
“Hari ini beliau ditugaskan sebagai ketua perbarisan untuk kontinjen RELA negeri. Allahyarham yang juga Ketua Jurulatih Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) Politeknik Nilai dikenali dengan sifat yang suka membantu terutama dalam hal berkaitan kejurulatihan kawad kaki selain penugasan anggota.
“Bukan sahaja di RELA, malah Allahyarham juga sering membantu agensi-agensi lain yang memerlukan latihan kawad kaki. Saya difahamkan pagi tadi Allahyarham sihat dan bersemangat. Beliau juga tidak pernah ketinggalan setiap kali ada perbarisan Hari Kebangsaan,” katanya kepada Bernama.
Muhammad Faiz berkata RELA akan turut membantu dengan menyalurkan sumbangan khairat kematian kepada keluarga Muhammad Noh yang bertugas sebagai penyelia di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Sembilan.
Sebelum ini tular video seorang peserta perbarisan rebah ketika perbarisan dan segera dibantu rakan-rakannya.