31 OGOS : Sikap sesetengah pemimpin yang sanggup menggunakan isu kaum dan agama semata-mata untuk meraih sokongan politik adalah tidak baik untuk negara ini.
Lebih-lebih lagi ketika Malaysia berdepan pelbagai cabaran global yang boleh memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Ini sekali gus bakal mengganggu tumpuan negara untuk menggunakan segala sumbernya bagi melaksanakan pembangunan secara menyeluruh.
Demikian antara petikan ucapan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Sarawak 2023 di Dewan Politeknik Mukah, hari ini.
“Saya agak sedih kerana kebelakangan ini negara tidak begitu berupaya untuk memfokuskan tenaganya untuk kemajuan keseluruhannya.
“Terdapat pemimpin yang kelihatan agak terdesak untuk menggunakan isu kaum dan agama yang boleh memecah belahkan masyarakat majmuk semata-mata untuk meraih sokongan politik.
“Sudah pastinya ini tidaklah baik untuk negara ketika dunia bergelut dengan pelbagai masalah khususnya pandemik COVID-19, peperangan dan perubahan iklim global,” katanya.
Sehubungan itu sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, beliau mengajak semua pihak untuk memahami kepentingan negara mengatasi segala kepentingan yang lain.
“Negara memerlukan kerajaan yang kuat untuk menggalas tanggungjawab merencana hala tuju ekonomi yang jelas ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi supaya kemerdekaan memberi pengertian yang sebenarnya kepada kita,” katanya
Malaysia katanya telah berjaya mempelbagaikan ekonominya daripada sebuah ekonomi pertanian dan komoditi kepada ekonomi yang dipacu oleh aktiviti pembuatan dan perkhidmatan sehingga menjadi negara pengeksport utama barangan elektrik dan elektronik.
Katanya, berdasarkan laporan Bank Dunia, pertumbuhan ekonomi negara berada secara purata pada sekitar 5.4 peratus sejak 2010 dan dijangka mencapai transisi daripada sebuah ekonomi pendapatan pertengahan tinggi atas kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2024.
“Namun, janganlah kita leka dan terus ‘bercakaran’ sesama sendiri kerana ia cenderung membawa kepada perpecahan dari segi perbezaan agama dan bangsa atau keturunan, atau dari segi wilayah.
“Jika kita saling mengesyaki antara satu sama lain dan asyik ‘berbentes’ (bertelagah) seperti kata Allahyarham Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) maka tenaga dan pemikiran kita hanya ditumpukan untuk menidakkan dan mengalahkan pihak lawan,” ujarnya.
Justeru, Abang Johari berkata penghayatan perjuangan para pemimpin yang terdahulu bukan sekadar dengan melaungkan slogan ‘Merdeka’ tetapi perlu memperkukuh semangat perpaduan dan semangat saling menghormati antara kaum.
Katanya, ia supaya negara ini terus melangkah dengan yakin dan berani ke arah negara yang dihormati dan disegani di rantau ini dan di seluruh dunia.