31 OGOS : Jerih perih perjuangan pemimpin terdahulu demi kemerdekaan negara tidak harus dilupakan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perjuangan terdahulu itulah yang telah membentuk jati diri bangsa Malaysia sehinggalah hari ini.
“Merdeka harus sentiasa tersemai dalam setiap jiwa kita, bagi memperingati legasi dan warisan tokoh-tokoh seperti Almarhum ayahanda saya Yusuf Merais, antara yang berjuang dengan semangat waja penuh pengorbanan dan keazaman tanpa mengenal titik henti.
“Bersama rakan seperjuangannya Rosli Dhobi, mereka gigih mengukir sejarah kemerdekaan negara, sebagai sebuah kisah yang penuh dengan curahan keringat, pengorbanan dan keberanian.
“Perjuangan serta pengorbanan mereka yang terdahulu telah membentuk jati diri bangsa kita sehinggalah hari ini. Cahaya Merdeka yang menyala dalam jiwa kita adalah warisan daripada mereka yang merupakan sumber semangat yang mampu kita abadikan dalam setiap usaha kita sehingga kini,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan hari kebangsaan ke-66, hari ini.
Fadillah berkata Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur kerana kita meraikan kepelbagaian, hidup bersatu padu, menghargai keunikan budaya, kepercayaan dan etnik di negara ini.
Katanya, kesemua kaum di negara ini saling melengkapi antara satu sama lain dalam simfoni ikatan harmoni.
“Berakar umbi daripada legasi merdeka, perpaduan ini memaknai hubungan kukuh yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.
“Segulai Sejalai (Seiring Sejalan) kita memandang ke hadapan, melukis potret kemajuan yang kemakmuran dan perpaduan bersatu,” katanya.