31 OGOS : Setiausaha Pertahanan UK, Ben Wallace dilaporkan meletakkan jawatan selepas empat tahun beliau memegang jawatan itu.
Wallace menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Rishi Sunak, lapor Sputnik memetik dokumen yang diterbitkan oleh kerajaan UK.
Wallace dilantik memegang jawatan itu pada 2019 di bawah kerajaan Boris Johnson.
“Setelah memikirkan dengan sedalam-dalamnya, saya mengambil keputusan untuk berundur.
“Saya memenangi kerusi ini pada 2005 dan sudah tiba masanya untuk kembali menjalani kehidupan yang saya tinggalkan, selain meneroka peluang baharu,” menurut penyataan dalam dokumen itu.
Sunak kemudiannya dilaporkan menerima peletakan jawatan itu dan memahami hasrat Wallace untuk berundur selepas lapan tahun menjalankan tugas menteri.
“Anda sudah berkhidmat kepada negara dalam tiga jawatan mencabar iaitu setiausaha pertahanan, Menteri keselamatan dan Menteri Northern Ireland.
“Saya menghormati keputusan anda dan terima kasih,” kata Sunak yang dijangka bakal mengumumkan pengganti Wallace dalam masa terdekat.