1 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan empat misi untuk memacu transformasi industri pada skala besar menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan, hari ini.
Beliau berkata misi pertama pelan tersebut adalah untuk memajukan ekonomi yang mana industri akan digalakkan berinovasi dan menghasilkan produk lebih canggih, sekali gus mampu meningkatkan daya saing negara dalam pasaran global.
“Misi kedua untuk membina sebuah negara berdaya maju dalam teknologi bagi memacu inovasi, meningkatkan produktiviti serta mencipta peluang baru untuk pertumbuhan ekonomi.
“Misi ketiga untuk mencapai pelepasan sifar bersih. Misi ini menekankan komitmen kami untuk menangani perubahan iklim dengan berusaha untuk masa depan sifar bersih, katanya ketika berucap melancarkan NIMP 2030 di ibu kota, hari ini.
Majlis pelancaran itu berlangsung di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang juga penggerak NIMP.
Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Mengulas lanjut Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, misi keempat NIMP adalah untuk menjaga keselamatan dan keterangkuman ekonomi.
“Misi ini bertujuan mewujudkan persekitaran yang membolehkan jaminan kepada keselamatan rantaian bekalan, menyokong perusahaan kecil sederhana (PKS) dan menggalakkan penyertaan saksama dalam aktiviti ekonomi di semua negeri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan turut menyasarkan mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekonomi berdaya tahan dan mesra alam melalui amalan mampan dan inisiatif hijau.
Jelas beliau, misi tersebut sejajar inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang dilancarkan baru-baru ini.