1 SEPT : Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik sebagai peguam negara yang baharu berkuat kuasa 6 September ini.
Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pelantikan Terrirudin adalah selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan selepas mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.
“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Idrus Harun atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai peguam negara,” kata beliau menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Idrus sebelum ini merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai peguam negara dengan kontrak dua tahun bermula 6 Mac 2020 menggantikan Tan Sri Tommy Thomas yang meletak jawatan pada 28 Februari 2020.
Beliau kemudian dilantik semula bagi memegang jawatan itu untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa mulai 6 Mac 2023.
Ahmad Terrirudin menjadi calon pertama daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sejak Tan Sri Abdul Gani Patail memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015.
Sebelum dilantik sebagai peguam cara negara pada Mac tahun lalu, Ahmad Terrirudin merupakan ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan. OLEH : AISYAH BADRUL