3 SEPT : Dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Putrajaya berhasrat untuk menambah 78 lagi kerusi parlimen sebagai suatu helah ‘menakut-nakutkan’ orang ramai.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, beliau tidak pernah mendengar sebarang perbincangan atau usaha meningkatkan jumlah kerusi di Dewan Rakyat daripada 222 menjadi 300.
“Saya sebagai anggota jemaah menteri, ini kali pertama saya dengar angka ni. Saya tak pasti dia dapat maklumat dari mana.
“Kalau seorang ahli jemaah menteri pun belum terima apa maklumatnya tentang perkara ini, bagi saya ia hanya satu angan-angan daripada pihak beliau cuba untuk menakut-nakutkan orang, sebab disebut dalam konteks PRK Pulai,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan program Kita Madani Aspirasi Malaysia 2023 peringkat Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, hari ini.
Pemimpin PN pada waktu kini mendakwa pengundi di kedua-dua kawasan perlu mengalahkan calon kerajaan perpaduan bagi mengelakkan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Bagaimanapun untuk rekod, mengikut peraturan sedia ada, kerajaan boleh meminda sesuatu kawasan pilihan raya dengan hanya mendapat sokongan majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Sokongan sekurang-kurangnya dua per tiga hanya diperlukan jika Putrajaya mahu menambah atau mengurangkan jumlah kerusi berkenaan.
PN mendakwa dengan adanya majoriti mutlak itu kerajaan akan memecahkan sesuatu kawasan parlimen yang memiliki kepadatan penduduk yang tinggi.
Mereka juga mendakwa langkah itu akan membolehkan DAP – salah satu parti komponen PH – mendapat lebih banyak wakil di parlimen.
Kata Fahmi, untuk mendapatkan kesahihan sepatutnya Muhyiddin mengajukan soalan tersebut sendiri secara langsung kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam sidangan Dewan Rakyat pada pertengahan bulan ini.
“Jadi saya peringatkan Tan Sri Muhyiddin, jangan ponteng parlimen. Sila tanya soalan (ketika) waktu pertanyaan kepada perdana menteri. Jangan malas, nanti culas,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan perpaduan memiliki majoriti mutlak melalui penguasaan 148 kerusi di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun keadaan berubah kepada 147 dengan kematian Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.