3 SEPT : Semua pihak perlu bersatu sebagai asas kesepaduan yang perlu dibuktikan Kerajaan Perpaduan.
Menjelaskan perkara itu, Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, ia penting dan dalam masa yang sama, peluang harus diberi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi negara serta meletakkan Malaysia dalam peta dunia.
Katanya, negara yang kini ditadbir Kerajaan Perpaduan berada pada landasan yang betul dan mampu menjadi negara kelas dunia.
“Saya yakin Malaysia boleh bangkit semula menjadi negara yang cukup dikenali di bawah pentadbiran Anwar. Jadi, kita bagi dia masa empat tahun ini untuk membuktikan perkara itu.
“Oleh itu dalam tempoh tersebut, janganlah kita membenarkan ada gerakan menggugat kerajaan hari ini. Jangan benarkan pisang berbuah dua kali setelah kerajaan kerap bertukar tampuk pimpinan.
“Saya tak rasa PAS dan BERSATU berkongsi ideologi yang sama untuk membangunkan negara,” katanya berucap pada Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah Johor Bahru, hari ini.
Dalam pada itu, Kit Siang turut menyeru penduduk di kawasan DUN Perling keluar mengundi bagi menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.