3 SEPT : Slogan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah selari dengan prinsip Rukun Negara.
Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Sheikh Omar Bagharib Ali, orang Melayu sekali gus tidak perlu takut dengan konsep yang dibawa DAP.
Jelas beliau, slogan tersebut merujuk kepada Malaysia untuk rakyat Malaysia dan selama ini tidak pernah menimbulkan masalah.
Maka, tegasnya lagi slogan tersebut tidak sepatutnya menjadi polemik khususnya dalam suasana kempen dan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
“Kita tidak seharusnya mengelak daripada polemik ini berterusan sebaliknya mencari titik persamaan perpaduan (antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional) untuk berkempen dalam pilihan raya ini.
“Sebab itu kita setuju bentuk Kerajaan Perpaduan dan (semua parti) setuju Perlembagaan parti ini, tiada masalah antara satu sama lain. Jadi seharusnya perkara ini tidak timbul,” katanya selepas Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah, Johor Bahru, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong merangkap Pengerusi DAP Johor; Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR); Dr Maszlee Malik; Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali dan calon PH, Suhaizan Kaiat.
Terdahulu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa DAP memberi penjelasan mengenai konsep Malaysian Malaysia dibawa parti itu supaya tidak lagi menyumbang kepada ketegangan kaum.
Beliau berkata, DAP juga perlu mengakui kesilapan kepada rakyat jika konsep Malaysian Malaysia selari dengan janji parti itu menghapuskan kuota bumiputera dan mengembalikan penggunaan bahasa.
Mengulas lanjut, Sheikh Omar turut berharap, akar umbi terutama UMNO mendapat kefahaman jelas mengenai isu tersebut dan disebabkan kerjasama antara PH dan BN yang masih baharu, perkara itu masih menghantui mereka.
Katanya, rasa sangsi serta curiga orang Melayu itu adalah perkara biasa dan memerlukan masa untuk menerimanya serta usaha memberi penjelasan sedang dilakukan jentera parti ketika ini.