Kembara Kenali Borneo: Agong terharu sambutan rakyat di Tawau
4 SEPT : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terharu dan teruja melihat sambutan penduduk sebaik berangkat tiba di Tawau sempena Kembara Kenali Borneo, petang semalam.
Baginda juga bertitah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakandanya cukup terharu kerana dapat sampai ke Negeri Di Bawah Bayu itu.
“Saya sampai di Tawau tetap ada wow, wow sambutan selepas mendarat, dari Kuala Lumpur hanya dua jam 30 minit tetapi dari Lapangan Terbang (Tawau) ke sini lima jam 30 minit.
“Saya dan isteri (Tunku Azizah) begitu semangat dengan apa yang ditunjukkan orang Tawau dan Sabah. Saya terharu sambutan hari pertama sebegini, esok dan lusa mesti lagi hebat. Saya cukup teruja, isteri dan anak-anak menghitung hari ke sini,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Rakyat Tawau di Dewan Masyarakat Tawau, malam tadi.
Pada masa sama, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang bersusah payah merealisasikan Kembara Kenali Borneo.
Sebelumnya, baginda melancarkan Kembara Kenali Borneo, program pengembaraan lebih 2,149 kilometer selama 11 hari dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyanyikan lagu bertajuk Butakah Cinta yang dipopularkan oleh Ameng daripada Kumpulan Spring.
Terdahulu, pada 1.50 tengah hari Seri Paduka berdua berangkat tiba di Lapangan Terbang Tawau di sini dari Kuala Lumpur, sebelum Al-Sultan Abdullah memandu sendiri kenderaan untuk bertemu dengan rakyat yang menyambut pasangan diraja itu.
Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan akan menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang menetap di pedalaman Sabah dan Sarawak pada program yang bermula hari ini hingga 13 September.
Hari ini, jadual pengembaraan yang padat menanti Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dengan acara pelepasan Kembara Kenali Borneo pada 8.30 pagi oleh Yang Dipertua Negeri di Bulatan 0 KM berhampiran Padang Bandaran Tawau.
Perjalanan menuju ke Lahad Datu akan menyaksikan persinggahan pertama di Menara Kayangan sebelum melawat ibu pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan menghadiri santapan tengah hari serta majlis penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf di Dewan Perdana Lahad Datu sebelum meneruskan perjalanan ke Sandakan.
*Foto : Facebook Istana Negara