Kerajaan jamin tiada kenaikan harga beras putih tempatan : PM
4 SEPT : Sebarang kenaikan harga beras putih tempatan tidak akan dibenarkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, jaminan tersebut tetap diberikan walaupun negara sedang berhadapan peningkatan harga barangan runcit di pasaran dunia.
Oleh itu, tegasnya, kerajaan turut memberi jaminan akan mempertingkatkan pegeluaran beras tempatan jika berlaku pertambahan permintaan dalam kalangan rakyat.
“Memang benar kita sedang menghadapi masalah harga beras yang sedang naik. Beras import yang dibawa dari India juga dikenakan cukai import sebanyak 40 peratus.
“Tetapi apa yang kita (kerajaan) buat? Kerajaan menetapkan harga beras putih tempatan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia tidak boleh naik.
“Jadi bila ada yang bertanya mengapa harga beras naik, kenapa beli beras import?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, malam tadi.
Hadir sama, calon DUN Simpang Jeram yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha bagi memastikan harga barang berada pada paras yang tidak mebebankan rakyat bukanlah suatu perkara mudah untuk dilakukan namun kerajaan mempunyai mekanisme tertentu bagi mengawal harga kenaikan bahan makanan di peringkat tempatan.
Tambah beliau, antara salah satu langkah tersebut adalah dengan meneruskan program Payung Rahmah yang diperkenalkan oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Allahyarham Salahuddin telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah jenama Payung Rahmah bagi membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik Covid-19.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim