Modul hadis : Tanyalah dulu, jangan marah dulu
4 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang dilancarkan Kementerian Pendidikan pada 19 Ogos lalu tidak terus dipolemikkan.
Beliau menegaskan modul itu hanya disasarkan kepada murid beragama Islam dan tiada paksaan bagi yang bukan Islam untuk mempelajarinya.
“Mata pelajaran ini untuk anak-anak Islam dalam Pendidikan Islam. Tanyalah dulu, jangan marah dulu.
“Kalau hari ini saya datang ke Little India, pelampau-pelampau ini akan kata Anwar jaga India saja. Bila soal Melayu, termasuk teks anak-anak Islam baca hadis, kata Anwar ni jaga Islam saja. Semua tak kena,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur D’Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar mengumumkan telah meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor melibatkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas yang sebelum ini dibekukan.
Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja melibatkan tiga sektor itu.
“Kita bagi kelulusan, bagilah sikit. Tapi saya tak nak bagi penuh sebab kena cari jalan (untuk beri latihan) melalui TVET (Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), melalui TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional). Bagi latihan pada orang-orang muda,” katanya.
Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat ini kerana melibatkan keperluan segera.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi menaik taraf gerai dan warung di seluruh Kuala Lumpur.
Sementara itu, petang tadi, beliau berangkat ke Indonesia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan yang bakal bermula esok selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta.
“Insya-Allah, saya akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak dari 5 hingga 7 September selain mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama Rakan Dialog ASEAN antaranya Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.
“Platform ini juga akan saya gunakan bagi menyatakan hala tuju kerajaan berkaitan isu glokal yang terkait selain menyertai beberapa siri sidang kemuncak dalam mengukuhkan jaringan diplomatik yang sekian lama terjalin dengan rakan-rakan ASEAN,” katanya yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
*Foto : SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri