5 SEPT: Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerajaan akan terus komited dalam meneruskan pencen pesara walaupun berdepan tanggungan perbelanjaan mengurus (OE) yang semakin meningkat.
Beliau berkata, kajian menyeluruh melibatkan gaji penjawat awam dan skim pencen sedang dilakukan bagi penambahbaikan usaha tersebut.
Menurut Ahmad Maslan, kerajaan membelanjakan RM31 bilion bagi membayar pencen lebih 900,000 pesara dan dianggarkan sebanyak 32,000 pesara baharu direkodkan setiap tahun.
“Dari jumlah itu, sebanyak 768,947 pesara termasuk penerima pencen terbitan di bawah Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
“Sehingga Julai, lebih kurang 80 peratus dana dilaburkan di dalam negara dan 20 peratus adalah pelaburan antarabangsa manakala dana kasar KWAP yang belum diaudit mencecah RM184.5 bilion,” katanya ketika ditemui pada Forum Pencarum KWAP 2023, hari ini.
KWAP menyumbang dividen sebanyak RM3 bilion kepada kerajaan yang mana menjadikan ia pengurus dana ketiga terbesar selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Bhd.
KWAP turut menyasarkan pelaburan pulangan sebanyak tujuh peratus menerusi dana kasar yang mencecah RM200 bilion pada 2025
Menurut Ahmad Maslan, masing-masing 40 peratus dana KWAP dilaburkan di dalam sekuriti pendapatan tetap dan ekuiti persendirian manakala selebihnya di dalam sektor hartanah dan ekuiti awam.
Sehubungan itu, beliau mahu KWAP mengoptimumkan pelaburan pada masa akan datang.