5 SEPT : Kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk merupakan satu lembaran baru kepada landskap pembangunan ekonomi Malaysia.
Pakar ekonomi berpandangan layanan keutamaan kepada Tesla disifatkan sebagai langkah terbaik bagi membawa pelaburan berkualiti masuk ke negara ini.
Shankaran Nambiar dari Institut Kajian Ekonomi Malaysia melihat perkara tersebut sebagai penekanan terhadap kecekapan berbanding penstrukturan semula sosial, sementara Geoffrey Williams dari Malaysia University of Science and Technology menyifatkan langkah itu sebagai pragmatik.
Namun, terdapat segelintir pihak yang melontarkan pandangan sebaliknya berkenaan tindakan kerajaan mengumumkan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) itu di negara ini.
Katanya, kerjasama itu dilihat tidak memenuhi syarat tempatan apabila Tesla menubuhkan ibu pejabat wilayahnya termasuk pusat jualan dan perkhidmatan di Malaysia.
Selain itu, Tesla juga dikecualikan melantik rakan tempatan bagi pengedaran kenderaan di Malaysia dan sebarang usaha niaga asing memerlukan sekurang-kurangnya 30% penyertaan ekuiti Bumiputera yang lazimnya dilakukan oleh jenama kereta negara lain.
Syarikat berkaitan, SpaceX juga diberi pengecualian daripada memenuhi syarat pemilikan ekuiti tempatan 51% bagi sistem Starlink di negara ini.
Minggu lalu, Tesla mula mengambil tempahan bagi Model 3, kurang dua bulan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan syarikat itu menubuhkan ibu pejabatnya di Selangor.
Dalam pada itu, Williams berkata tawaran kepada Tesla akan membawa manfaat ekonomi kepada negara ini kerana syarat ekuiti Bumiputera tidak memberi makna jika 30% dipegang syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Tambahnya, syarikat itu adalah entiti dimiliki semula rakyat Malaysia, bukan terhad kepada kumpulan tertentu sahaja.
“Perjanjian bersama Tesla merupakan apa Malaysia perlukan untuk membangunkan ekonominya.
“Sekatan semasa berkait pelaburan langsung asing adalah berunsur perlindungan, manipulasi dasar dan rasuah. Ia menjejaskan persekitaran pelaburan. Apa yang menarik adalah sekatan tersebut lebih baik dan memberi lebihan kepada lebih banyak lagi pilihan,” katanya, lapor FMT.
Sementara itu, Nambiar berkata langkah kerajaan melonggarkan syarat asal dilihat satu permulaan yang baik serta mampu membawa pulangan pelaburan yang lumayan berbanding struktur sosial.
“Perjanjian bersama Tesla boleh menjadi antara langkah pertama perdana menteri penstrukturan semula keutamaan negara, memformulasikan semula agenda kebangsaan.
“Kehadiran Tesla berkemungkinan membawa penubuhan kemudahan pembuatan bateri, pemindahan teknologi, dan kewujudan ekosistem EV,” katanya.