5 SEPT : Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertahankan tindakan permohonan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan yang dibuat, semalam.
Agensi itu dalam satu kenyataan hari ini berkata hakim yang mengendalikan kes itu menerima alasan dikemukakan pihaknya.
“Merujuk kepada laporan media bahawa tindakan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid sebagai tidak bermoral, jabatan ini ingin menegaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan dibuat kepada mahkamah berdasarkan kepada alasan- alasan yang dikemuka dan telah pun diterima oleh mahkamah.
“Semasa membuat keputusan tersebut, hakim menyatakan alasan-alasan yang dikemuka oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent),” katanya.
Zahid yang juga Presiden UMNO berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan DNAA yang dipohon oleh timbalan pendakwa raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.
Keputusan ini bermakna pendakwaan boleh meneruskan kes ini atau mengemukakan kes terhadap Zahid pada bila-bila masa nanti berdasarkan fakta dan keterangan yang serupa dalam kes ini.
Hakim Collin dalam keputusannya berkata beberapa alasan diberikan pendakwaan termasuk terdapat keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan alasan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kandungan buku ‘My Story: Justice in The Wilderness’ oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Katanya, oleh kerana siasatan masih dijalankan dan lanjutan daripada respresentasi yang dikemukakan pembelaan, adalah wajar bagi pihak pendakwaan memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti representasi yang membabitkan pihak berkuasa mengambil kenyataan daripada beberapa individu.
Katanya lagi, walaupun penubuhan RCI tidak menyatakan garis masa dan bagaimana ia akan dilakukan, ia tidak menunjukkan bahawa kes terbabit sudah mencapai penamatnya.