AGC henti prosiding kes Zahid : Saya tidak campur
6 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mempunyai kaitan dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memohon kepada mahkamah untuk memberhentikan semua prosiding terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan dihadapinya.
Kata Anwar, peguam negara mempunyai kuasa sepenuhnya dalam mengendalikan kes timbalannya itu.
“Peguam negara ada kuasa sepenuhnya dan diberikan alasan-alasan. Saya berikan kuasa sepenuhnya kepada peguam negara kerana dia bicara tentang 200 halaman permohonan baharu oleh Zahid.
“Ini merupakan keputusan peguam negara jadi saya tidak campur,” katanya selepas Program Temu Anwar di Jakarta, malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar berkata keputusan mahkamah itu sama sekali tidak menjejaskan kredibiliti kerajaan serta menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya dalam membanteras rasuah.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid yang juga Presiden UMNO daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.
Zahid sebelum ini telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada AGC sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari lalu manakala yang terbaru, lengkap dengan fakta dan bukti baharu, dihantar kepada AGC pada Februari.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang berkaitan memutuskan Filipina akan mempengerusikan ASEAN pada 2026 yang diambil alih dari Myanmar pada tahun berkenaan.
“Tahun depan Laos akan mempengerusikan ASEAN diikuti oleh Malaysia. Myanmar sepatutnya mengambil alih selepas itu tetapi kami mencapai kata sepakat berikutan isu dalaman di Myanmar, kita mengambil keputusan digantikan dengan Filipina.
“Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr bersetuju. Ini adalah perkembangan yang positif,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berpendirian tegas untuk mempertahankan hak dan berunding secara baik dengan China mengenai isu Laut China Selatan yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN, semalam.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim